Bekas pemain bola sepak kebangsaan dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke Mah
Bekas pemain bola sepak kebangsaan
dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke
Mahkamah Majistret Putrajaya semalam, untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnin Wan Ab. Rahman sehingga 21 April ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memboleh­kan lelaki itu disiasat di bawah Sek­syen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Bekas pemain berusia 43 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini pada pukul 9.25 pagi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna oren dan tangan bergari sambil diiringi pegawai SPRM.

Semalam, bekas pemain pasukan Selangor dan Negeri Sembilan itu hadir di Ibu pejabat SPRM di sini selepas agensi itu mendedahkan sedang me­ngesan seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana.

Rabu lalu, tiga pemain MISC-MIFA yang ditahan reman selama tujuh hari sejak 6 April berhubung kes yang sama telah dibebaskan dengan jaminan SPRM oleh Mahkamah Majistret.

Ketiga-tiga suspek itu yang terdiri daripada seorang pemain import berusia 29 tahun dan dua warga tempatan masing-masing berusia 26 dan 27 tahun ditahan selepas dipercayai mengambil wang rasuah daripada bookie sebagai habuan untuk menentukan keputusan perlawanan Liga Perdana musim ini.