dadah model
Bekas model yang ditahan AADK.

Ketika ditahan kira-kira pukul 1 pagi, wanita berusia 32 tahun itu berada seorang diri di dalam rumah milik ibunya.

Wanita tersebut dikatakan tinggal seorang diri di rumah itu selepas ibunya tidak tahan dengan kerenahnya yang sering mengamuk meminta wang untuk membeli dadah manakala anaknya dijaga oleh bekas suaminya.

Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah, Rusdi Yusof berkata, wanita itu mengaku telah mengambil pil kuda sebelum dia ditahan dalam serbuan yang dilakukan oleh agensi tersebut.

“Wanita yang pernah bekerja sebagai model dan pelakon sambilan ini mengaku menagih dadah ketika berusia 18 tahun lagi.

“Ibu tunggal itu juga mengaku menagih syabu ketika bekerja sebagai model di Kuala Lumpur dan beralih kepada pil kuda kerana tidak mampu menampung perbelanjaan pembelian syabu yang semakin mahal di pasaran,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Model sambilan itu antara 30 individu yang ditahan dalam operasi khas di Kampung Gunung, Beris Kubur Besar dan Tawang, dekat sini bermula dari pukul 6 petang sehingga 8 pagi tadi.

Dalam operasi tersebut, AADK mengesan 20 penagih dadah positif pil kuda dan morfin selepas saringan ujian air kencing dijalankan. - UTUSAN ONLINE