Menurut sumber, seorang da­ri­pada pemimpin tersebut yang sedang disiasat berhubung satu lagi kes rasuah membabitkan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) turut diburu kerana gagal me­laporkan diri kepada SPRM sejak dua bulan lalu.

Ujarnya, kedua-dua pemimpin terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan proses penjualan tanah tersebut yang terletak di Tongod, Sandakan, Sabah dan pembeli dikatakan telah membayar 10 peratus wang deposit bernilai RM15.5 juta.

Namun jelasnya, apabila tanah itu didapati tidak boleh dijual kepada orang luar memandangkan status tanah berkenaan merupakan Hak Adat Bumiputera (NCR), deposit yang telah dibayar oleh pembeli dipercayai hilang.

“Berikutan itu, beberapa dokumen berkaitan pembelian ta­nah tersebut telah diambil untuk diteliti bagi siasatan lanjut sekiranya terdapat penyelewengan.

“Kedua-dua pemimpin masih belum dipanggil memandangkan seorang daripada mereka dikatakan masih berada di luar negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Baru-baru ini, dua blog telah mendedahkan mengenai dakwa­an penyelewengan berhubung pembelian tanah berkenaan.

Blog tersebut mendakwa, dana bernilai RM155.4 juta milik RISDA dilaporkan hampir hilang berikutan urusan jual beli tanah NCR di daerah Tongod seluas 2,428 hektar pada Julai 2014.

Dalam pada itu, blog terbabit turut mendakwa sebanyak RM15.5 juta wang pendahuluan hasil pembelian berkenaan lesap namun tiada laporan dibuat kepada SPRM.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan memang ada siasatan dijalankan berhubung isu pembelian tanah yang berkaitan namun beliau enggan memberi ulasan mengenai pihak yang terlibat dengan perkara itu.

“Biarlah pihak kami menjalankan siasatan. Saya tidak mahu isu ini dispekulasikan,” katanya.