Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, tertuduh, Lim Hui Ten, 34, didakwa menggelapkan wang tersebut sejak Mei 2011 dan Oktober 2013.

Katanya, tugas tertuduh sebagai kerani akaun adalah menunaikan cek syarikat secara wang tunai dan dibayar kepada subkontraktor dan syarikat pembekal.

“Walau bagaimanapun, tertuduh tidak membuat sebarang bayaran kepada pihak terlibat sebaliknya menggunakan wang itu untuk kegunaan sendiri.

“Antara 25 Mei 2011 dan 23 September 2013, tertuduh telah menu­naikan 77 cek syarikat berjumlah RM2.9 juta yang sepatutnya dibayar kepada subkontraktor dan syarikat pembekal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Maris Agan dan mahkamah menolak permohonan tertuduh supaya diikat jamin sebaliknya memerintahkan wanita itu ditahan di penjara sehingga sebutan semula kes pada 11 September ini.

Pendakwaan kes terhadap tertuduh yang diwakili peguam, Christopher Hii itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fillany Siji.