Menurut Mohd. Saleem Mohammad Aslam, 31, dia sendiri tidak pasti kedua-dua anaknya, Raheel Khan, 6, dan Aleya Reyhana, 4, benar-benar diambil oleh ibu kandung kanak-kanak tersebut yang juga warga New Zealand.

“Saya telah bercerai sejak tiga tahun lalu. Dia (bekas isteri) tidak pernah menghubungi saya untuk berjumpa anak-anak dan tiba-tiba Khamis lalu anak saya dilepaskan kepada orang yang tidak pasti oleh pihak tadika.

“Sebelum ini, dua anak saya pernah dijaga oleh bekas isteri selama setahun dan selepas itu saya mengambil alih tanggungjawab menjaga mereka dan dalam tempoh itu, bekas isteri tidak pernah menghubungi saya untuk bertanya mengenai anak-anak,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din mengesahkan pihaknya sedang mengesan wanita terbabit untuk membantu siasatan.

Utusan Online melaporan mengenai kehilangan kanak-kanak tersebut tular dalam laman sosial Facebook milik seorang wanita dipercayai ibu saudara mereka.

Menurut wanita tersebut, kehilangan Raheel Khan dan Aleya Reyhana disedari ketika adiknya hadir untuk mengambil mereka pulang.

“Dia dimaklumkan oleh guru mereka ada seorang wanita datang mengambil adik-beradik berkenaan sekitar pukul 9 pagi kononnya untuk membawa mereka menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Wanita itu memaklumkan bapa mereka tahu mengenai pemeriksaan kesihatan itu dan turut berjanji akan menghantar mereka pulang ke sekolah sebaik sahaja selesai pemeriksaan kesihatan dalam masa satu jam,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, guru tersebut turut memaklumkan wanita terbabit datang bersama dua lagi lelaki yang menunggu di dalam sebuah kereta pelbagai guna (MPV) berwarna putih.

Ibu saudara adik-beradik itu juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan menghubungi adiknya di talian 014-3233503. - UTUSAN ONLINE