Wanita berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 petang ini ketika beliau hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Menurut sumber, wanita berkenaan dikatakan telah mengambil barang kemas yang telah digadai oleh pelanggan di pajak gadai milik syarikat kewangan itu sebelum dia memberikan barang terbabit kepada kenalannya untuk digadai semula.

“Hasil siasatan awal, sebanyak 31 gadaian telah dimanipulasi oleh wanita tersebut antara Mei 2016 hingga Oktober 2016 hingga memberi kerugian kepada syarikat kewangan pajak gadai terbabit.

“Sepatutnya satu-satu barang kemas yang digadai hanya boleh mengeluarkan sekali bayaran pinjaman sahaja iaitu merujuk kepada satu akuan gadaian,” katanya di sini hari ini.

Tambah sumber, suspek yang bertugas sebagai penaksir di syarikat kewangan pajak gadai itu juga bertanggungjawab memproses, menilai dan meluluskan pinjaman hasil gadaian barang kemas pelanggan.

Ujarnya, selain itu, suspek juga mempunyai akses untuk memasuki bilik kebal menyimpan barang kemas.

"Sehubungan itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah reman," jelasnya. - UTUSAN ONLINE