Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, suspek berusia 41 tahun ditahan polis ketika sedang memecah masuk sebuah rumah di Taman Seri Pinang, Sungai Puyu di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketika kejadian pemilik rumah tersebut mendapati terdapat sebuah tangga di belakang rumahnya sebelum menghubungi polis.

“Polis yang tiba di rumah berkenaan membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat seorang lelaki di bahagian dapur.

“Suspek cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak polis namun berjaya ditahan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek yang mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes pecah rumah dan tiga rekod membabitkan dadah dibebaskan dari penjara hujung 2017 namun kembali aktif memecah masuk kediaman tahun lalu.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berbadan kecil melakukan kegiatan pecah rumah sendirian dan dia akan menyamar sebagai ejen membaiki pendingin hawa sebelum memecah masuk kediaman.

“Dengan penahanan suspek, kita berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah di kawasan Mak Mandin, Sungai Puyu dan tiga lagi kes di kawasan Seberang Perai Tengah, malah suspek juga dipercayai terlibat dalam 10 lagi kes pecah rumah,” katanya.

Menurut Noorzainy, susulan penahanan suspek polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah antaranya televisyen, beg, telefon bimbit, jam tangan berjenama dan barangan kemas yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000.

“Suspek yang juga penagih dadah didapati memecah masuk kediaman serta menjual apa sahaja barangan yang dicuri untuk membeli dadah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, polis menahan dua remaja lelaki berusia 18 tahun pada 8 April lalu kerana terlibat dengan kegiatan curi motosikal dan merampas 15 buah rangka motosikal yang dibuang ke dalam Sungai Jarak, Tasek Gelugor dekat sini.

“Dua remaja yang tidak bekerja itu menjalankan kegiatan curi motosikal sejak awal tahun ini dan mereka akan meleraikan komponennya sebelum membuang rangka motosikal berkenaan ke dalam Sungai Jarak,” katanya. - UTUSAN ONLINE