Bekas itu ditemukan oleh polis di rumah berkenaan di Taman Vista Jaya, Lukut dekat sini yang dipercayai menjadi lokasi kanak-kanak itu diperlakukan dengan kejam hingga menemui ajal awal pagi Khamis lalu.

Dalam pemeriksaan di lokasi tersebut, polis turut merampas sebuah bangku kecil plastik yang telah patah dan satu tali pinggang tentera.

Utusan Malaysia difahamkan, suspek utama kes itu percaya bahawa anak perempuannya itu dipengaruhi saka dan air jampi berkenaan telah digunakan untuk mengubat masalah tersebut.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad yang dihubungi hari ini mengesahkan bahawa polis telah merampas bekas air tersebut bagi membantu siasatan.

Khamis lalu, mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan Lukut di sini meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selepas tidak sedarkan diri di rumahnya.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah pada organ dalaman seperti buah pinggang putus, hati koyak, lebam pada usus serta tulang rusuk kiri dan kanan patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Berikutan itu, polis telah mendapatkan perintah Mahkamah Majistret Port Dickson untuk menahan reman seorang anggota tentera yang juga bapa kandung Nur Aina Nabihah berusia 36 tahun dan ibu tiri mangsa berusia 34 tahun selama tujuh hari hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Sekysen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - UTUSAN ONLINE