Taktik itu dikesan selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri menyerbu tiga buah kedai, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1 petang tadi, sebanyak 600 buah beg wanita berjenama tiruan bernilai RM60,000 turut dirampas.

Difahamkan ketika serbuan dilakukan, pemilik kedai tidak berada di permis berkenaan yang hanya dijaga oleh beberapa pekerja.

Ketua KPDNKK Cawangan Seberang Perai Tengah (SPT), Abdul Madi Wahab berkata, serbuan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa ditipu selepas memesan beg tersebut.

"Ini adalah satu modus operandi baharu yang mana beg yang sama tetapi digunakan untuk pelbagai jenama.

"Sekiranya pelanggan mahu jenama beg, peniaga akan meletakkan logo jenama yang diminta pada beg tersebut sedangkan beg itu adalah sama," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurut Abdul Madi, kebanyakan mangsa merupakan pembeli yang membeli secara online selepas tertarik dengan tawaran harga istimewa.

Beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011. - UTUSAN ONLINE