Ibu mangsa, Nur Aziemah Zahari, 26, dari Kampung Kayan, Sitiawan berkata, dia baru tiga minggu menghantar anak tunggalnya, Muhammad Firas Danial Muhammad Nizar ke rumah pengasuh tersebut yang berjiran dengan kakaknya.

Nur Aziemah berkata, pada pukul 10.30 pagi Jumaat lalu, dia diberitahu oleh kakaknya bahawa anaknya itu sudah tidak bergerak serta berada dalam keadaan lembik di rumah pengasuh tersebut.

“Apabila saya sampai, pengasuh berusia 30-an dan suaminya yang merupakan seorang anggota polis, meminta saya segera membawa anak saya ke hospital.

“Di Hospital Seri Manjung, nadi anak saya sudah tidak bergerak jadi, dilakukan bantuan pernafasan (CPR) selama empat minit dan doktor mengesahkan terdapat pendarahan teruk dalam kepalanya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB di sini hari ini.

Nur Aziemah berkata, anaknya terpaksa dibawa ke HRPB Ipoh pada pukul 4 petang hari sama bagi menjalani pembedahan.

Namun katanya, doktor mengesahkan tidak menemukan sebarang kesan pukulan mahupun lebam, justeru mengesyaki mangsa berkemungkinan digoncang terlalu kuat sehingga menyebabkan pendarahan teruk.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis daripada keluarga mangsa dan juga pengasuh.

Beliau berkata, pihak keluarga mendakwa mangsa telah didera, namun kita akan menyiasat serta menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian sebelum mengambil tindakan selanjutnya. - UTUSAN ONLINE