Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang, apabila bapa bayi berkenaan berusia 29 tahun merupakan pembantu perubatan di Hospital Shah Alam pelik melihat anak keduanya itu menangis seperti kesakitan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pasangan suami isteri yang bekerja di tempat sama itu menghantar anak mereka kepada pengasuh kira-kira pukul 7 pagi.

“Bagaimanapun, sewaktu mengambil anaknya, bayi terbabit menangis. Khuatir dengan keada­an anaknya, bapa bayi tersebut telah membuat pemeriksaan di hospital dan hasil imbasan X-ray mendapati bahagian paha kiri kanak-kanak tersebut retak.

“Setakat ini, kita mengesahkan menerima laporan polis daripada bapa mangsa yang dilakukan awal pagi tadi dan difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga te­lah pergi ke rumah pengasuh terbabit untuk membuat siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas Baharudin, siasatan awal pihaknya mendapati pasangan suami isteri itu mengenali pengasuh tersebut melalui laman sosial Facebook.

“Pengasuh ini telah berkahwin dan bukan sahaja menjaga mangsa di dalam rumah tersebut. Setakat ini, kita masih lagi menjalankan siasatan dan menunggu laporan doktor bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

“Kita mohon supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis. Polis juga akan memanggil pengasuh tersebut dalam masa terdekat untuk diambil kenyataan,’’ ujarnya.