Bayi yang berada dalam keadaan sihat itu ditemukan sepasang suami isteri yang juga pemilik rumah terbabit kira-kira pukul 7 pagi ini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, susulan itu seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan siasatan, remaja terbabit dipercayai melahirkan bayi tersebut kira-kira 12.30 tengah malam tadi selepas mengalami sakit perut dan meninggalkan bayi itu di beranda rumah berkenaan.

"Pemilik rumah yang ketika kejadian tidak berada di rumah hanya menyedari kewujudan bayi tersebut selepas pulang ke rumahnya pagi ini selepas mendapati ada kesan darah," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Abdul Wahib berkata, kejadian disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat untuk membuang bayi tersebut.

Katanya lagi, remaja perempuan bersama bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk rawatan susulan. -UTUSAN ONLINE