Bayi perempuan itu ditemukan seorang suri rumah kira-kira pukul 10.30 pagi ketika berjalan kaki dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah kedai runcit di Jalan Langkasuka.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pengadu berusia 53 tahun itu mendakwa suara tangisan bayi dipercayai berusia tiga hari itu membuatkannya berpatah balik ke tempat kejadian.

“Ketika wanita itu menuju ke lokasi kejadian, dia ternampak bayi perempuan di dalam sebuah beg berwarna putih corak merah jambu di tepi jalan tersebut dan memaklumkan penemuan itu kepada pekerja bengkel yang brhampiran.

bayi

“Pekerja bengkel itu membawa bayi tersebut ke tempat kerjanya sebelum membersihkan dan memberikannya susu. Lelaki berusia 36 tahun itu kemudiannya menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahurinain berkata, bayi perempuan itu berada dalam yang sihat dan baik sewaktu dijumpai dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan susulan.

Katanya, pihak polis sudah memaklumkan penemuan bayi berkenaan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

“Bayi perempuan yang ditemui dalam keadaan baik itu kini dalam penjagaan pihak hospital untuk rawatan selanjutnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE