Difahamkan, bayi yang diletakkan dalam beg hitam itu ditinggalkan di koridor sebuah rumah di tingkat tiga sebelum disedari oleh pemilik rumah kira-kira pukul 1 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu daripada seorang lelaki pada pukul 1.33 petang sebelum anggota kereta peronda (MPV) ke lokasi kejadian.

“Anggota MPV kemudian menjumpai bayi perempuan itu dalam keadaan masih bertali pusat.

“Pihak ambulans telah hadir dan memeriksa keadaan bayi sebelum disahkan masih hidup. Bayi berkenaan telah dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi. - UTUSAN ONLINE