Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, bayi seberat 2.6 kilogram itu ditemukan dalam keadaan sihat oleh seorang lelaki di dalam bungkusan plastik ketika melalui jalan berkenaan kira-kira pukul 10 malam.


“Lelaki tersebut menyatakan dia dari kedai di Desa Kenanga dan menuju pulang ke Desa Tanjung sebelum melihat seorang lelaki warganegara Pakistan menahan dan memberitahu dia menemukan bayi di dalam semak. 


“Lelaki tersebut membuat pemeriksaan dan mendapati bayi itu masih hidup lalu menelefon Hospital Muadzam Shah untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.


Menurut Azli, pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan menemukan uri yang belum dipotong dengan tali pusat di dalam plastik berkenaan dan mendapati bayi tersebut dilahirkan cukup bulan.


Katanya, tiada kecederaan serius ditemukan pada bayi itu dengan hanya terdapat bintik merah pada jari kemungkinan digigit serangga. 


“Bayi ini dipercayai dilahirkan dalam tempoh 24 jam dan sedang dipantau oleh pakar kanak-kanak,” katanya. - UTUSAN ONLINE