Keadaan yang menimpa bayi itu disedari oleh pegawai perubatan di Hospital Batu Gajah semasa dia dibawa oleh pengasuhnya ke hospital tersebut untuk mendapatkan suntikan imunisasi, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kes itu disedari oleh pegawai perubatan setelah melihat terdapat dua kesan terbakar di anggota tubuh mangsa.

Katanya, semasa perkara tersebut ditanyakan kepada pengasuhnya, pengasuh itu memaklumkan kesan cucuhan puntung rokok tersebut dilakukan oleh datuk bayi itu sendiri.

"Ketika kejadian, mangsa telah dijaga oleh suspek di rumah lelaki itu di Kampung Baru Batu 1, Tanjung Tualang pada Rabu lalu kerana pengasuh bayi tersebut menghadiri sesi pendaftaran persekolahan anaknya.

"Kejadian berlaku ketika suspek yang sedang menghisap rokok mahu menanggalkan pakaian bayi terbabit kerana membuang air besar namun rokok yang dihisapnya telah terkena bahu sebelah kanan sebelum jatuh terselit pada lampin pakai buang yang dipakai mangsa," katanya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, selepas kejadian itu, suspek tidak membawa mangsa ke klinik atau hospital untuk rawatan dan hanya meletakkan kicap pada kesan terbakar itu.

Beliau memberitahu, mangsa dijaga sepenuhnya oleh pengasuh sejak lahir kerana ibu bapa bayi tersebut sedang menjalani hukuman di Penjara Tapah kerana kesalahan dadah.

"Ekoran laporan oleh pegawai perubatan hospital, kita telah menangkap suspek berusia 42 tahun itu pada hari sama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Lelaki yang ditahan reman sehingga esok itu didapati mempunyai empat rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah namun ujian urin yang dilakukan ke atasnya didapati negatif," katanya.

Tambah beliau, bayi malang itu kini dirujuk di Hopsital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan lanjut. - UTUSAN ONLINE