Perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut menyebabkan bayi lelaki berusia setahun dua bulan itu berada dalam keadaan kritikal akibat mengalami sawan dan jangkitan kuman pada paru-paru dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurut sumber, pengasuh berusia 23 tahun itu ditangkap sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di rumah sewanya di MJC Batu Kawa di sini pukul 2 petang semalam.

“Ibu bayi berusia 17 tahun yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai kasut telah meninggalkan mangsa dijaga oleh pengasuh terbabit sejak tiga minggu lalu dan kali terakhir berjumpa anaknya didapati sudah tidak berapa sihat pada Isnin lalu.

“Pada pukul 8.35 pagi Khamis lalu, ibu mangsa mendapat mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek memaklumkan anaknya yang sedang bermain tiba-tiba menangis sehingga mukanya pucat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut sumber, mangsa yang bergegas ke rumah suspek melihat anaknya mendapati bayi terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu segera membawanya ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Katanya, hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa berada dalam keadaan kritikal berpunca akibat lama tidak diberi makan dan minum iaitu hampir tiga minggu, di samping mengalami lebam di dahi.

Tambahnya, ibu bapa mangsa meninggalkan anak mereka dijaga oleh pengasuh terbabit kerana terpaksa bekerja.

“Suspek mengaku ada memukul mangsa menggunakan botol susu dan tangan pada bahagian kepala untuk menghentikan tangisannya. Dia bertindak sedemikian disebabkan marah terhadap ibu mangsa yang lambat membayar upahnya,” katanya.

Menurutnya, pengasuh terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)a Akta Kanak-kanak 2001.

Habis.