Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan luaran pula menunjukkan terdapat ba­nyak kesan lebam, luka dan calar pada bahagian kepala, muka, mulut, ba­dan, kedua-dua le­ngan atas dan kaki mangsa.

Katanya, bayi pe­rempuan yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu juga cedera di bahagian kemaluan serta terdapat kesan gigitan pada kedua-dua belah tangan.

“Hasil pemeriksaan dalaman turut menunjukkan terdapat banyak kesan pendarahan di bawah kulit kepala mangsa selain pendarahan pada bahagian otak di kedua-dua belah temporal, pariental dan occipital dengan organ otak kelihatan membengkak akibat pendarahan tersebut.

“Pada masa sama, kesan kecederaan juga dapat dilihat pada frenulum bibir atas de­ngan banyak kesan patah dan penyembuhan pada tulang rusuk kiri dan kanan, kesan patah dan penyembuhan pada lengan kanan serta kesan patah baru pada tulang paha kiri,” katanya kepada pembe­rita di sini hari ini.

Dalam kejadian di Kampung Tok Panjang malam semalam, mangsa dikatakan lemah dan enggan meminum susu sebelum dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran oleh pasangan suami isteri berusia 22 dan 26 tahun sebelum disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Di Mahkamah Majistret Bukit Mer­tajam, pasa­ngan suami isteri itu direman selama seminggu bermula hari ini yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah, Nor Hapipah Abdullah.

Dalam pada itu, jiran kepada keluarga bayi pe­rempuan tersebut tidak menyangka tangisan kira-kira setengah jam yang didengar pada wak­tu tengah ma­lam dua minggu lalu merupakan pe­tanda kejadian menyayat hati berkenaan.

Jiran lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu yang enggan dikenali berkata, dia menganggap tangisan bayi sebagai perkara biasa malah keluarga bayi itu juga tidak pernah meminta bantuan me­reka.

“Ayahnya kelihatan baik walaupun dia tidak pernah bertegur sapa dengan kami di sini,” katanya ketika ditemui di sini.

Lelaki itu berkata, bapa bayi berkenaan berpindah ke rumah pusaka berkenaan kira-kira lima tahun lalu dan berkahwin dengan isterinya yang berasal dari Penaga dekat sini sejak dua tahun lalu.

“Dia (ayah bayi) sebelum ini menganggur dan baru sahaja bekerja sebagai pemandu lori,” katanya.