Bayi yang masih bertali pusat berkenaan ditinggalkan di atas tempat duduk hentian bas tersebut dengan hanya dibalut sehelai kain batik dan dibasahi darah ditemukan seorang penduduk kampung itu yang keluar untuk sarapan di kedai berhampiran kira-kira pukul 7 pagi.

Penduduk kampung itu kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada Ketua Kampung RTP Lebu, Samsudin Lebar, 67, yang kemudian ke lokasi pe­nemuan bayi berkenaan bersama isterinya, Kamariah Mansor, 64, dan anggota polis.

Kamariah berkata, ketika menghampiri bayi itu, dia kelihatan menggigil kerana kesejukan ekoran suhu yang sejuk selain dibalut dengan kain batik yang dibasahi darah.

“Apabila saya mengangkat dan memeluknya, bayi ini terus mengeliat. Saya ditemani suami bersama beberapa anggota polis kemudian membawanya ke Klinik Kesihatan Mempaga untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lebu di sini hari ini.

Menurut Kamariah, bayi sebe­rat 2.8 kilogram itu mempunyai kesan gigitan semut di dahi dan dagu tetapi berada dalam keada­an sihat selepas dibawa ke klinik kesihatan berkenaan.

“Semasa dibawa ke klinik, bayi ini tidak menangis. Dia hanya menangis selepas doktor memotong tali pusatnya,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ke­tua Polis daerah, Deputi Superintenden Zainudin Abdul Hamid berkata, bayi berkenaan dipercayai ditinggalkan di hentian bas tersebut kira-kira pukul 3 pagi ini dan polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan.

Katanya, bayi itu berada dalam keadaan stabil dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk pemantauan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diharapkan dapat menyalurkannya kepada polis,” katanya.