Itu jumlah bayaran dibuat oleh tiga tahanan di Lokap Pusat Bayan Baru di sini sebagai ‘upah’ untuk dibawa bertemu keluarga mereka sehingga menyebabkan salah seorang daripadanya, Anuar Ayat berjaya melarikan diri dalam kejadian pada 9 Julai lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye (gambar) berkata, siasatan mendapati wang berkenaan kemudian akan dibahagikan kepada tujuh anggota polis berusia antara 27 hingga 59 tahun yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Saya boleh mengatakan dalam kejadian itu, kesemua orang kena tuduh (OKT) terma­suk Anuar telah memberi sogokan sebanyak lebih RM2,000 kepada tujuh anggota polis manakala seorang anggota turut disiasat sebelum ini didapati tidak terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, Anuar, 43, melarikan diri dalam keadaan tangannya tidak digari ketika dibawa kumpulan anggota polis berkenaan untuk 'bertemu' keluarganya di Sungai Nibong.

Anggota polis berkenaan yang panik kerana gagal mengesan Anuar kemudian membuat laporan palsu pada pukul 11 pagi dengan mendakwa van yang digunakan untuk membawa suspek bersama dua lagi mengalami kerosakan brek ketika sampai di Jalan Paya Terubong untuk ke Hospital Balik Pulau.

Sehingga kini, polis masih mengesan Anuar yang berasal dari Permatang Damar Laut di sini yang menghadapi pertuduhan kes mahkamah di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya.

Sementara itu, Ghee Lye memberitahu, kertas siasatan berhubung kes berkenaan siap dan telah diserahkan kepada Bukit Aman baru-baru ini untuk tindakan lanjut sebelum dirujuk kepada Ketua Unit Pendakwaan negeri.

“Polis negeri juga telah memberi beberapa cadangan serta tindakan yang perlu diambil terhadap tujuh anggota yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan,” jelasnya.