ANTARA barangan tiruan jenama MCM yang dirampas oleh anggota penguat kuasa PPDNHEP Johor dalam operasi di sekitar Johor Bahru, baru-baru ini. utusan/ azizi majid

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Aris Mamat berkata, serbuan selama 12 jam bermula pukul 11 pagi dilakukan bersama-sama pengadu jenama berkenaan selepas melakukan pemantauan selama seminggu.

“Kita telah menjalankan pe­meriksaan ke atas enam premis di sekitar bandar raya ini dan mendapati mereka menjual barangan tiruan berjenama seperti beg tangan, tali pinggang dan rantai kunci.

“Dalam serbuan, kita berjaya merampas 934 unit pelbagai barangan tiruan jenama MCM bernilai kira-kira RM17,285,” katanya selepas membuat serbuan di sebuah premis disyaki menyimpan gas petroleum cecair (LPG) melebihi jumlah yang dibenarkan di sini, hari ini.

Aris berkata, barangan tiruan itu dipercayai dibawa masuk dari China dan dijual di negara ini dengan harga semurah RM20 hingga RM100 berbanding harga barangan jenama MCM asli yang lebih mahal.

Menurutnya, kesemua barangan tersebut disita di bawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 bagi tujuan siasatan lanjut.

Ujar beliau, pemilik premis boleh didenda sebanyak RM10,000 bagi setiap perihal barangan yang dipamerkan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan bagi orang perseorangan bagi kesalahan kali pertama.

Bagi kesalahan kali kedua, denda boleh dikenakan sehingga RM20,000 bagi setiap perihal barangan yang dipamerkan atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.