Dia yang enggan dikenali berharap supaya kes itu tidak lagi diperkatakan oleh mana-mana pihak, apatah lagi menyebarkan perkara-perkara yang tidak benar termasuk gambar anaknya.

Katanya, dia kesal kerana ada pihak yang telah mengambil kesempatan menggunakan kes anaknya itu atas kepentingan politik masing-masing.

"Saya ingin menegaskan bahawa ini hanyalah satu salah faham. Anak saya tidak dicabul oleh individu terlibat (Ahli Parlimen) dan laporan polis yang saya buat (bersama anak) pada 21 Oktober lalu telah pun ditarik balik atas kerelaan sendiri iaitu kira-kira 12 jam selepas itu.

"Saya juga ingin menafikan kami diugut atau disogok kerana buktinya, laporan polis yang dibuat, telah ditarik balik sebelum saya berjumpa Ahli Parlimen itu keesokannya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas penyebaran fitnah berkaitan kes membabitkan anaknya di laman-laman sosial kebelakangan ini sehingga menyebabkan mereka sekeluarga mengalami tekanan perasaan.

Sebelum ini, polis mengesahkan menyiasat kes itu yang membabitkan seorang Ahli Parlimen meskipun laporan polis berkaitannya telah ditarik semula.

Menurut bapa remaja itu lagi, dalam pertemuan berkenaan, dia dan keluarga telah menerima permohonan maaf individu terlibat.

Ditanya puncanya membuat laporan polis, dia menjelaskan bahawa tindakannya itu dibuat untuk mempertahankan hak dan melindungi ahli keluarganya dan bukanlah dalam keadaan terburu-buru.

"Sebelum membuat laporan, saya mengadakan perbincangan dengan ahli keluarga.

"Apa yang berlaku, individu terlibat sebenarnya hanyalah memegang bahu anak saya di dalam kereta manakala anak saya telah menangis," katanya.

Bapa remaja itu turut mempersoalkan bagaimana MyKad anaknya tersebar di internet sehingga mengakibatkan mereka sekeluarga tertekan.

Katanya, dia dan ahli keluarga tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya pihak terlibat masih terus menyebarkan fitnah berkaitan kes itu. - UTUSAN ONLINE