Lelaki terbabit yang hilang pertimbangan kerana dipercayai berada di bawah pengaruh dadah sanggup menetak dan menikam bapanya, Ali Nordin, 56, sehingga terbaring dan berlumuran darah sebelum menemui ajalnya.

Cemas dengan perbuatannya itu, suspek kemudian bertindak menikam perutnya sendiri.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada orang awam kira-kira pukul 3 pagi.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, mangsa ditemukan terbaring berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Kejadian itu dipercayai akibat perselisihan faham hingga menyebabkan suspek bertindak menikam leher dan menetak kepala mangsa menggunakan pisau serta parang panjang sebelum menikam perutnya sendiri.

“Suspek yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan dan kini di bawah pengawasan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya mene­mukan dan merampas parang sepanjang 28 inci dan pisau 10 inci yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mang­sa.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.