Tertuduh yang bekerja kampung dan berusia 38 tahun, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pisang Hilir dalam daerah Kampar pada bulan Julai 2018.

Tertuduh didakwa telah meraba kemaluan, payu dara serta menjilat kemaluan anaknya yang berusia 13 tahun empat bulan ketika itu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum sebat serta diletakkan di bawah pengawasan polis bagi tempoh minimum setahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman sementara tertuduh diwakili peguam bela S. Teeban.

Terdahulu, Teeban memohon supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin tetapi Naidatul Athirah meminta mahkamah supaya mengenakan dua syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran seminggu sekali selain tidak dibenarkan untuk berhubung dengan mangsa dan ibu mangsa.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan ikat jamin tersebut dan menetapkan 15 Februari depan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE