Mohd. Saleem berkata, dia telah bercerai dengan bekas isterinya yang berusia lingkungan 20-an sejak tiga tahun lalu dan wanita itu pernah menjaga kedua-dua anaknya di awal tempoh penceraian mereka.

Menurutnya, dia kemudian mengambil alih tanggungjawab menjaga kanak-kanak itu selepas mereka mendakwa tidak dijaga dengan baik oleh ibunya yang turut tinggal serumah dengan seorang lelaki tidak dikenali.

“Dia (bekas isteri) tidak pernah menghubungi saya untuk berjumpa anak-anak. Kali terakhir dia mengambil inisiatif berjumpa adalah pada tahun lalu.

“Jika benar dia mahu berjumpa, beritahu saja kerana saya dan keluarga tidak pernah menghalang dia bertemu dengan anak-anak. Saya juga telah berusaha menghubungi bekas ibu mertua untuk menanyakan me­ngenai perkara itu, namun tidak mendapat kerjasama yang baik,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Saleem memberitahu, pihaknya cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tadika berkenaan untuk mengesan nombor pendaftaran kenderaan individu yang mengambil anaknya, namun gagal.

“Saya sendiri risau kerana belum dapat dipastikan adakah benar bekas isteri yang mengambil dua anak saya. Selagi belum dapat dipastikan, saya bimbang memikirkan keselamatan mereka dan jika diambil oleh bekas isteri sekalipun, saya berhak diberi penjelasan,” katanya.

Dalam pada itu menurut sumber, polis mengesahkan bahawa kanak-kanak yang didakwa dilarikan telah diambil oleh ibu kan­dung mereka.

“Pihak polis sedang mengesan wanita terbabit untuk membantu siasatan berkaitan kes itu,” kata sumber tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi Khamis lalu, dua beradik terbabit dikatakan dilarikan oleh tiga individu tidak dikenali, termasuk seorang wanita ketika berada di tadika berkenaan.

Kehilangan mereka disedari ketika ibu saudaranya pergi ke tadika terbabit untuk menjemput adik-beradik itu pulang, namun dimaklumkan oleh guru bahawa mereka diambil oleh seorang wanita didakwa ibu kandung kanak-kanak berkenaan untuk pemeriksaan kesihatan.

Guru tadika itu memaklumkan wanita itu datang dengan dua lelaki yang menunggu dalam sebuah kereta pelbagai guna (MPV) berwarna putih itu turut memaklumkan bapa mereka tahu me­ngenai pemeriksaan kesihatan itu dan berjanji akan menghantar kanak-kanak itu pulang ke sekolah sebaik sahaja selesai pemeriksaan berkenaan.