Lebih memeranjatkan dalam serbuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor di AU5, Taman Lembah Keramat dekat sini semalam, kegiatan tersebut turut disertai oleh lapan lagi rakan anaknya yang juga jiran mereka.

Menurut sumber AADK, kegiatan itu dilakukan di rumah anak beranak tersebut yang menjadi tempat penagihan dadah sebelum diserbu dalam Operasi Perdana AADK kira-kira pukul 6 petang semalam.

“Siasatan mendapati, bapa kepada dua remaja itu membekalkan ganja kepada dua anaknya dan lapan remaja lain, selain menjadikan rumah mereka sebagai pusat melepaskan gian.

“Hasil daripada pemeriksaan mendapati, kesemua suspek berusia 18 hingga 40 tahun didapati positif ganja dan mereka telah di bawa ke Pejabat AADK di Petaling Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu Pengarah AADK negeri, Md. Razif Wan yang mengesahkan penahanan tersebut memaklumkan seramai 188 orang telah periksa dalam operasi yang dilakukan sejak kelmarin dan berakhir hari ini.

Jelasnya, selain Hulu Langat, Operasi Perdana AADK turut melibatkan dua lokasi iaitu Ampang dan Petaling Jaya, dekat sini.

“Pemeriksaan mendapati, 170 orang berusia dalam lingkungan 16 hingga 53 tahun didapati positif pelbagai jenis dadah antaranya morfin, methamphetamine dan THC. Daripada jumlah yang ditahan 15 daripada mereka adalah wanita

“Malah operasi yang dijalankan turut menahan seorang remaja lelaki berumur 16 tahun yang turut didapati positif morfin,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Md. Razif, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.