Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, bantuan Interpol itu diperlukan berikutan pihaknya tidak menolak kemungkinan saki baki ahli kongsi gelap itu bertindak melarikan diri.

"Pada peringkat ini, kita tidak nafikan ada di antara mereka (ahli Geng 360) telah melarikan diri bagi mengelak daripada ditangkap.

"Oleh itu, kita telah meminta bantuan Interpol bagi mengesan saki baki ahli geng ini yang telah dikenal pasti identitinya," katanya ditemui di pekarangan kamar Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Seramai 35 ahli Geng 360 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pagi ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan membantu kumpulan itu sejak tiga tahun lalu. - UTUSAN ONLINE