Peguam belanya, LS. Leonard mengesahkan anak guamnya yang berusia 43 tahun itu dibebaskan pada 9.05 malam ini di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dekat sini.

“Anak guam saya dibebaskan kerana tempoh reman sudah tamat. Buat masa ini tiada pendakwaan yang dibuat terhadapnya.

“Saya berharap kes ini dapat diselesaikan supaya anak guam saya dapat menjalankan kehidupan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Wanita berusia 43 tahun tersebut direman selama tujuh hari bermula 4 September sebelum disambung selama tiga hari pada Isnin lalu bagi membantu siasatan kes bunuh suaminya.

Pada 14 Jun lalu, Nazrin dilaporkan maut selepas terpe­rangkap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres dua tingkat beliau di Mutiara Damansara akibat terhidu asap berpunca daripada letupan telefon bimbit milik mang­sa.

Bagaimanapun, pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, mendedahkan kejadian yang disiasat sebagai mati mengejut itu diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas polis mendapat keputusan bedah siasat serta laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang me­nemukan kesan petrol dalam bilik Nazrin yang terbakar. - UTUSAN ONLINE