Mohd. Hairie Abd. Jalil, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Datin Surita Budin. 

Dia didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap Noor Azizah Ahmad, 33, dengan membaling mangga motosikal yang terkena di belakang kepala mangsa sehingga berdarah dan menerima tiga jahitan. 

Perbuatan itu dilakukan di tempat letak motosikal Blok D, Apartmen Kelisa Ria, Kampung Sungai Tangkas di sini kira-kira 1.30 pagi, 1 Mei lalu. 

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama iaitu keganasan rumahtangga yang boleh dikenakan dua kali ganda tempoh hukuman, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R. Siamalah mencadangkan jaminan RM15,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan rendah kerana dia penanggung tunggal keluarga. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan kes. - UTUSAN ONLINE