Ini berikutan, beberapa media lain turut mula membongkar kegiatan sama membabitkan beberapa kawasan lain di negeri berkenaan termasuk di Kledang Saiong selain di kawasan penempatan Orang Asli di Kampung Tasik Cunex di Gerik.

Namun persoalan yang masih tidak terjawab sehingga ke hari ini, siapa sebenarnya dalang utama sehingga kawasan hutan di negeri tersebut menjadi ‘togel’.

Jawapan yang pasti, kayu-kayan yang ditarah itu bernilai tinggi tetapi siapa sebenarnya yang menikmati keuntungannya.

Malah sehingga ke hari ini, tiada jawapan jelas diberikan terhadap isu berkenaan yang bukan sahaja secara jelas menjejaskan ekosistem semula jadi malah menjadi rintihan Orang Asli berikutan tanah adat yang merupakan kawasan rayau mereka untuk mencari rezeki itu turut menjadi mangsa kerakusan pembalak.

Apa tidaknya, setiap kali timbul isu tersebut, jawapan yang sama pasti diberikan iaitu perkara itu akan disiasat serta tindakan `paling’ tegas akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab, namun realitinya kegiatan tersebut masih berjalan.

Tambahan, alasan tidak ‘sedar’ mungkin juga sudah tidak relevan memandangkan pelbagai pihak turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu tersebut termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar.

Ini kerana, negara ini mempunyai pelbagai agensi pe­nguat kuasa termasuk yang diwujudkan khas untuk memantau dan menjaga hutan.

Bukan itu sahaja, menurut sumber daripada salah sebuah badan penguat kuasa turut memaklumkan, adalah tidak logik jika anggota penguat kuasa tidak menyedari berhubung perkara itu sedangkan ramai pihak termasuk orang awam telah membuat laporan berhubung isu tersebut.