Dalam kejadian kira-kira 2 pagi, suspek bertindak menyelongkar barangan yang terdapat dalam surau berkenaan sebelum melarikan sebuah kipas duduk yang didapati sudah hilang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Beh Eng Lai berkata, kejadian disedari oleh seorang lelaki berusia 45 tahun ketika melalui surau berkenaan pada pukul 2.10 pagi dan ternampak pintu pagar dan gril surau terbuka.

Katanya, pengadu kembali ke surau berkenaan dengan seorang rakan untuk membuat pemeriksaan lalu mendapati sebuah kipas duduk hilang selain terlihat barang-barang seperti al-Quran dan buku Yasin berselerak serta rak dan jam besar dialihkan dari tempat asal.

“Barang-barang dalam stor seperti lampu, penyedut hampagas, al-Quran, Yasin, sejadah dan kabel elektrik telah diselongkar manakala ada beberapa cebisan kertas dipercayai buku agama ditemukan dibakar berhampiran laluan ke bilik air surau.

“Pemeriksaan dijalankan dapati tiada sebarang kesan umpil pada bahagian pintu masuk dalam surau dan hanya terdapat kesan umpil pada tabung surau. Usaha mengesan cap jari suspek di surau yang tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tidak menemukan sebarang kesan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Eng Lai berkata, suspek dipercayai membakar buku agama berkenaan kerana berang tidak dapat mencuri duit tabung yang disimpan di dalam peti besi.

“Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan usaha mengesan dan menangkap penjenayah yang terlibat sedang dipergiatkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE