Namun hari ini dia membuat keluarganya kecewa apabila ditahan bersama empat lagi individu ketika berada di sarang penagihan dadah di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Matahari Naik, Semeling, dekat sini.

Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda, Shamshuri Yusoff berkata, kesemua mereka ditahan dalam operasi selama dua jam bermula pukul 10 pagi tadi.

"Hasil ujian saringan awal dadah mendapati kelima-lima mereka positif dadah jenis opiat.

"Kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 34 tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap namun mampu membeli dadah dipercayai hasil jualan barangan lusuh," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kawasan sarang penagihan dadah itu merupakan ladang kelapa sawit yang telah ditinggalkan sejak sekian lama.

"Disebabkan itu para penagih dan pengedar dari kawasan sekitar terutamanya Merbok, Bedong dan Semeling mengambil kesempatan dengan menjalankan kegiatan haram mereka di situ," katanya.

Tambahnya kesemua mereka dibawa ke Pejabat AADK Kuala Muda untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah ( Rawatan & Pemulihan ) 1983 Pindaan 1998. - UTUSAN ONLINE