AZAM BAKI

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya telah menyemak dokumen berkaitan susulan tahanan reman dua individu bergelar Datuk Seri dan Datuk namun mendapati tia­da penglibatan Abdul Azeez da­lam kes tersebut.

“Setelah semakan dibuat terhadap dokumen berkaitan yang kita ambil, beliau didapati tidak terlibat dalam hal ini.

“SPRM juga tiada keperluan me­manggil beliau selepas Zenith (Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd.) menarik balik notis tuntutan dan membuat permohonan maaf kepada Ahli Parlimen Ba­ling itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 4 Mac lalu, syarikat pemaju terowong dasar laut, Zenith menerusi peguam mereka menarik balik notis tuntutan yang dihantar kepada Abdul Azeez berhubung dakwaan menerima RM3 juta berkaitan projek tersebut.

Menurut Abdul Azeez, syarikat pemaju itu turut memohon maaf kepadanya dan mengakui kesilapan dalam notis tuntutan tersebut malah berjanji akan membantu membersihkan nama beliau yang tercemar ekoran isu terbabit.

Ditanya mengenai tindakan yang perlu diambil oleh Ahli Parlimen Baling itu, Azam berkata kini terpulang kepada Abdul Azeez untuk mengambil tindakan terhadap tohmahan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab mengenai isu tersebut.

Mengulas perkembangan taha­nan dua individu bergelar Datuk itu, beliau memberitahu, siasatan kes berkenaan kini di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kertas siasatan kes itu hampir selesai dan akan dikemukakan secepat mungkin kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.