Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid berkata, saman tersebut melibatkan dua kesalahan iaitu melebihi had laju sebanyak 229,319 saman dan melanggar arahan lampu isyarat (21,874 saman).

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan saman tersebut, sebanyak 29,957 saman individu dan 5,735 saman syarikat telah dibayar kepada JPJ dengan jumlah kompaun keseluruhan RM5.3 juta.

“Sehingga kini RM5.3 juta dari­pada RM37 juta saman berjaya dikutip daripada pemandu-pemandu yang melakukan kesalahan melebihi had laju dan me­langgar lampu isyarat menerusi Awas.

“Kita tidak melihat kepada jum­lah saman yang dibayar se­mata-mata, kita bertindak tegas bagi memupuk kesedaran agar pemandu-pemandu mematuhi se­gala peraturan yang telah di­tetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Shaharuddin, sehingga kini pihaknya masih memberi tempoh kepada pesalah-pesalah jalan raya terbabit supaya membayar saman atau dikenakan tindakan mahkamah dalam tempoh tiga bulan selepas saman dikeluarkan.

“Sekarang JPJ memberikan diskaun sebanyak RM150 daripada RM300 jumlah saman yang sepatutnya dibayar, namun jika pesalah masih tidak bayar dalam tempoh enam bulan, maka JPJ akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan mahkamah.

“Tanggapan sesetengah pihak bahawa tindakan saman tidak boleh diambil dan kes tidak boleh dibawa ke mahkamah adalah ti­dak benar kerana di bawah Seksyen 53 Akta JPJ 1957 yang memberikan kuasa kepada JPJ untuk melaksanakan tindakan saman,” katanya.

Sementara itu katanya, pada 2 hingga 8 Oktober lalu, JPJ telah melancarkan Op Tutup 1 yang memberi tumpuan kepada penguatkuasaan ke atas kenderaan berat yang membawa muatan batu, pasir, tanah dan bahan binaan.

“Melalui operasi itu, sebanyak 15,405 kenderaan telah diperiksa dengan 5,594 saman dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan yang melibatkan 8,372 kesalahan seperti membawa le­bih muatan, lesen tamat tempoh dan menggunakan lesen tidak sah,” katanya.

Selain itu katanya, JPJ akan melancarkan Op Sisih 1 dan 2 pada November serta Disember ini bagi memastikan semua pemandu bas ekspres bebas daripada sebarang kesalahan lalu lintas termasuk tidak mempunyai saman tertunggak.

“Diharapkan operasi itu dapat menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain, lebih-lebih lagi menjelang musim cuti persekolahan akhir tahun ini dan pe­rayaan Tahun Baharu Cina pada awal tahun hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Shaharuddin turut mengumumkan pihaknya te­lah membuka tender untuk orang ramai membida harga plat nombor kenderaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bermula hari ini dan keputusannya akan diumumkan pada 6 November.