Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, pasukan 5 Rejimen Sempadan yang membuat rondaan di kawasan berkenaan berjaya mengesan dua kenderaan jenis Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan.

Panglima 6 Briged, Briged Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, kedua-dua kenderaan itu kemudian ditinggalkan di laluan trek berhampiran Pos Sahara selepas menyedari kehadiran pasukan ronda tersebut.

"Apabila melihat kedua-dua kenderaan tersebut berada dalam keadaan mencurigakan, pasukan ronda cuba menghampiri bagi membuat pemeriksaan.

"Bagaimanapun, apabila menyedari kehadiran pasukan ronda, kedua-dua pemandu tersebut melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya. Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut menemukan daun ketum," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz, pihaknya turut merampas kedua-dua pancuan empat roda tersebut yang dianggar bernilai RM80,000.

"Ini menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM187,825. Kesemua barang rampasan telah dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Tambahanya, kejayaan tersebut merupakan permulaan baik bagi 2018 apabila pasukan 5 Rejimen Sempadan berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan daun ketum. - UTUSAN ONLINE