Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kewujudan kumpulan tersebut dianggap baharu oleh PDRM memandangkan pihaknya belum pernah menerima maklumat berkaitan sebelum ini.

“Kita sedang menunggu laporan berkaitan daripada Jabatan Imigresen,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Anugerah Balai League Table (BLT) di Subang Jaya di sini, hari ini.

Turut hadiri Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Laporan eksklusif Utusan Malaysia hari ini melaporkan ketua kumpulan haram warga asing, ‘Armos Moro Seneng’ bersama beberapa ahli geng berkenaan ditahan oleh anggota Grup Taktikal Khas (GTK) Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam serbuan di sekitar Senawang, Negeri Sembilan semalam.

Sebelum itu, Jabatan Imigresen turut menahan 60 individu di Mantin, Negeri Sembilan dalam Ops Sakera ekoran Utusan Malaysia mendedahkan kewujudan sebuah kumpulan dikenali sebagai Sakera Madura dikesan telah bertapak di Mantin de­ngan membawa ikatan persaudaraan songsang selain dikhuatiri memberi ancaman kepada masyarakat setempat.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Khalid menyampaikan hadiah kepada wakil 30 balai pemenang daripada enam kategori Anugerah BLT 2014 yang merupakan pengiktirafan kepada balai polis yang mempunyai rekod pengurangan jenayah tertinggi dalam kawasan pentadbirannya.

Juara bagi kategori A anugerah tersebut dimenangi oleh Balai Polis Sungai Besi, Cheras diikuti oleh Balai Polis Subang Jaya sebagai naib juara manakala tempat ketiga dimenangi oleh Balai Polis Batu Pahat, Johor.

Juara bagi setiap kategori yang dipertandingkan akan mendapat RM1,000 setiap seorang, piala pusingan dan iringan serta lawatan sambil belajar ke luar negara.