Kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah Gombak di sekitar daerah itu hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya kini bagaimanapun sedang memburu seorang lagi suspek yang masih bebas.

“Kedua-dua suspek berusia 26 dan 40 tahun itu kita akan tahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana membunuh binatang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, polis mengeluarkan gambar tiga lelaki bagi membantu siasatan kes ber­kenaan tular dalam laman sosial sejak kelmarin rakaman mengenai tindakan dua lelaki memasukkan seekor ku­cing bunting ke dalam mesin pe­ngering pakaian di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Gombak dekat sini.

Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu di­rakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) kedai dobi berkenaan dan dikongsi oleh Persatuan Haiwan Malaysia.

Menerusi rakaman berdurasi selama dua minit 50 saat itu, kelihatan dua lelaki yang juga pe­langgan dobi memasukkan ku­cing tersebut ke dalam me­sin pengering.

Dua lelaki itu kemudian berlalu pergi sambil membawa baju yang sudah dibasuh, namun kemudian datang semula beberapa saat kemudian sambil memasukkan duit syiling ke dalam mesin pengering berkenaan.

Kedua-duanya meninggal­kan kedai dobi itu sebaik menekan butang ‘mula’ pada mesin pengering yang me­ngandungi kucing betina ber­kenaan sebelum bangkainya ditemukan seorang pelanggan dalam keadaan berlumuran darah.