Memetik Utusan Borneo Online, mangsa berusia 28 tahun terbabit berkenalan dengan ‘wanita’ menggunakan nama ‘Aishah’ di laman Facebook pada November 2016.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa dan juga Aishah tidak pernah berjumpa dan hanya berhubung menerusi Facebook serta aplikasi Whatsapp.

“Mangsa yang tertarik dengan gambar-gambar digunakan suspek bersetuju berkahwin dan membuat pembayaran hantaran ke akaun bank digunakan suspek berjumlah RM30,000 secara pindahan dalam talian pada Disember 2016.

“Dia juga membuat beberapa transaksi pindahan secara dalam talian ke akaun yang sama berjumlah RM30,000 pada Jun 2017 untuk penambahan wang hantaran kepada suspek,” katanya.

Menurut Stanley, selepas transaksi tersebut suspek gagal dihubungi sehingga ke hari ini.

“Pengadu hanya membuat laporan polis hari ini selepas merasa ditipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. - UTUSAN ONLINE