Kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 2.25 pagi oleh sepasukan anggota yang melakukan rondaan setelah melihat kenderaan jenis Toyota Avanza dinaiki mereka, berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 41 dan 28 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Sungai Buaya dekat sini, menuju ke Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan pelbagai guna (MPV) itu pula menemukan lapan bungkusan plastik hitam berisi daun ketum di bahagian bonet serta dua bungkus lagi di tempat duduk belakang.

"Berdasarkan siasatan, kesemua 10 plastik daun ketum yang dirampas itu dianggarkan seberat 50 kilogram dan dipercayai akan diproses sebelum dijual di Seremban.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek bagaimanapun didapati negatif dadah, malahan mereka juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Zainal berkata, kedua-dua suspek dipercayai membeli bekalan daun ketum berkenaan pada harga RM20 sekilogram daripada pembekal di Sungai Buaya sebelum bertindak menjualnya di Seremban pada harga RM30 sekilogram.

"Kedua-dua suspek disyaki telah aktif dalam kegiatan pengedaran bahan larangan ini sejak setahun lalu," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. - UTUSAN ONLINE