Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Abd. Aziz Ismail berkata, lelaki berumur 22 tahun itu ditahan lima anggota tentera diketuai Koperal Sabran Latim setelah melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki itu dalam keadaan mencurigakan berhampiran Pos Sahara kira-kira 2.45 pagi.

“Semasa tinjauan, kenderaan tersebut sedang melalui laluan kebun getah menuju ke sempadan Thailand dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut mendapati terdapat plastik hitam berisi daun ketum dalam kereta tersebut ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd. Aziz berkata lelaki serta kenderaan jenis Toyota Land Cruiser bernilai RM55,000 itu yang turut dirampas bersama daun ketum itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata pasukan 2RS akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan terus berleluasa berlaku di negara ini. - UTUSAN ONLINE