ANGGOTA polis wanita berpangkat sarjan ditahan oleh SPRM negeri di Melaka, kelmarin.

Anggota berpangkat sarjan berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang di sebuah restoran makanan segera dekat Alor Gajah.

Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati suspek meminta dan menerima wang sebanyak RM6,000 daripada seorang lelaki berusia 31 tahun sebagai dorongan untuk melepaskan adik lelaki tersebut yang ditahan kerana memiliki air daun ketum.

“Dalam tangkapan itu, pihak SPRM turut merampas wang suapan sebanyak RM6,000 yang disimpan suspek.

“Anggota polis itu kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad bagi membantu siasatan,” kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Perintah reman terhadap suspek yang bertugas di Ibu pejabat Polis (IPD) Alor Gajah itu dikeluarkan oleh Majistret Analia Kamaruddin di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Abu Talib Othman mengesahkan tangkapan berkenaan dan memberitahu kes sedang disiasat mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009.