Mayat anggota polis berusia 26 tahun yang bertugas di Bukit Aman itu ditemukan berlumuran darah dengan kesan tembakan kira-kira pukul 11 pagi di dalam sebuah bilik bersama teman wanita­nya warga Vietnam berusia 20-an.

Sebelum ditemukan, adik mang­sa dikatakan telah membuat laporan polis berhubung kehilang­an abangnya sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, berikutan itu, pemeriksaan lanjut telah dilakukan di rumah sewa mangsa sebelum me­nemukan mayat kedua-dua mang­sa.

Ujarnya, siasatan awal mendapati anggota polis terbabit telah menembak teman wanitanya terlebih dahulu sebelum menembak dirinya sendiri.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menemukan sepucuk pistol milik anggota terbabit dan identiti teman wanitanya juga masih dalam siasatan memandangkan tiada sebarang pengenalan diri ditemukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Kok Sin, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mati mengejut (SDR).