Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, anggota berpangkat Korporal berusia 37 tahun dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Selangor itu menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

“Saya difahamkan doktor sedang menjalankan ujian x-ray terhadapnya dan akan membuat pembedahan untuk membuang anak peluru yang tertinggal dalam lutut anggota tersebut.

“Buat masa ini, dia berada dalam keadaan sedar dan stabil,” katanya selepas melawat anggota terbabit di PPUM, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan niat enam lelaki warga tempatan untuk merompak kedai emas di sebuah pasar raya di Kuchai Lama terbantut selepas lima daripada mereka ditembak mati manakala seorang lagi berjaya ditahan polis.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.45 petang itu, kesemua perompak sempat menyamun kedai emas sebelum berbalas tembakan dengan polis ketika keluar dari pasar raya tersebut. - UTUSAN ONLINE