Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, anggota berpangkat Lans Koperal yang sedang membuat rondaan di Jalan Binjai, di sini terserempak dengan sebuah kereta Proton Satria dinaiki dua lelaki Indonesia dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika anggota berkenaan cuba memeriksa seorang daripada lelaki berusia lingkungan 30-an tersebut, suspek tiba-tiba mengeluarkan sebatang pemutar skru dan menikam mangsa di bahagian kanan lengannya.

"Suspek yang kemudian melarikan diri ke jalan raya dilanggar sebuah kereta sebelum ditahan anggota yang cedera terbabit," katanya ketika dihubungi di sini.

Shaharuddin berkata, suspek yang mengalami kecederaan patah peha kanan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

Tambahnya, anggota yang turut dirawat di hospital yang sama berada dalam keadaan stabil. - UTUSAN ONLINE