Dalam kejadian pada pukul 7 petang itu, mangsa berusia 22 tahun dalam perjalanan menuju ke Kampung Peralla di sini bagi melaksanakan tugas risikan berhubung satu urusan jual beli dadah bersama seorang rakan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, setibanya di tepi jalan Bukit Capong, anggota terbabit melihat lima lelaki Melayu disyaki sedang menjalankan urusan jual beli dadah.

"Mangsa dan rakannya berhenti di kawasan itu dan cuba menahan seorang pengedar. Ketika menjalankan tangkapan ke atas seorang suspek kepala mangsa diketuk dari arah belakang.

"Anggota polis itu turut luka di jari telunjuk sebelah kanannya akibat terkena tetakan parang. Mangsa mendapati lelaki yang melakukan perbuatan itu adalah bapa suspek yang cuba ditahan. Lelaki berusia 50-an itu memegang sebilah parang," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurut Suzaimi, mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah bagi mendapatkan rawatan dan usaha mengesan suspek berusia 50-an itu sedang dijalankan. - UTUSAN ONLINE