Kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu menyebabkan seorang anggota polis berpangkat Koperal patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Jokhiri Abd. Aziz berkata, kejadian berlaku apabila dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) mengesan kereta Proton Wira dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan Perak, Pasir Gudang.

Menurutnya, suspek bagaimanapun memecut laju setelah diarah berhenti bagi menjalani pemeriksaan selain bertindak menyembur minyak diesel ke arah MPV polis dengan menggunakan hos yang disambung dengan dua buah tong dram yang diubah suai.

“Sebaik sahaja melalui Jalan Pasir Gudang menghala ke Taman Johor Jaya berhampiran Taman

Perindustrian Plentong, dua kenderaan MPV dari IPD Johor Bahru Selatan bersama empat

anggota telah membuat sekatan jalan raya untuk membantu menahan suspek.

“Namun, suspek bertindak agresif dengan memecut laju sebelum merempuh seorang anggota MPV yang berada di tepi jalan dan melepaskan satu das tembakan ke arah kereta suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujar Jokhiri, suspek terus memecut keretanya hingga ke persimpangan Jalan Rosmerah 2/11 dan telah melanggar MPV polis sebelum suspek cuba menyerang dengan meluru ke arah polis sambil memegang sebatang besi.

Jelasnya, demi mempertahankan diri, anggota polis itu melepaskan satu das tembakan ke arah suspek dan terkena pada bahagian pinggang sebelum dia diberkas.

“Siasatan lanjut mendapati kereta dipandu suspek berusia 30 tahun itu pernah dilaporkan hilang di Tampoi, Skudai. Suspek memiliki sepuluh rekod jenayah lampau termasuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas, curi kenderaan serta kes dadah.

“Anggota polis yang cedera pula adalah dari MPV IPD Johor Bahru Selatan berusia 33 tahun mengalami patah tiga bahagian pada kaki kiri dan tulang pinggul kiri dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini,” katanya. - UTUSAN ONLINE