Difahamkan, pengurusan hotel telah memberitahu polis mengenai perlakuan seorang lelaki warga Nigeria berusia 23 tahun yang didakwa membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman penghuni bilik lain.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah, sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) telah pergi ke bilik penginapan lelaki berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.

“Suspek lelaki kemudian cuba terjun melalui tingkap bilik menyebabkan polis terpaksa menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Anggota bomba yang cuba menghalang suspek daripada terjun bagaimanapun telah dibaling dengan objek kaca oleh suspek mengakibatkan kecederaan pada bahagian dahi,” katanya.

Tambahnya, dua anggota polis turut tercedera selepas ditumbuk dan dipukul oleh suspek lelaki berkenaan sebelum berjaya ditangkap.

Pemeriksan pasport pasangan tersebut mendapati mereka telah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini antara dua dan tiga tahun.

“Suspek telah ditahan reman selama 14 hari atas kesalahan tinggal melebihi masa dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 ,Seksyen 353 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” kata Shaharudin. - UTUSAN ONLINE