Dalam kejadian itu, individu dikenali sebagai Mageswaran, 26, dikatakan cuba melarikan diri dengan sebuah kereta semasa dikejar polis menghala ke Kampung Jerong di sini, pada pukul 5.45 pagi.

Walau bagaimanapun setibanya di lokasi tersebut, kereta itu hilang kawalan dan terbabas lalu terhumban ke dalam sebatang parit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, lelaki berkenaan kemudian bertindak keluar dari kereta dan melepaskan tembakan ke arah polis sebelum anggotanya membalas sehingga mengakibatkannya terbunuh.

“Hasil siasatan percaya lelaki itu pernah terlibat dalam pelbagai kes jenayah, termasuk pengedaran dadah dan membunuh.

“Sebelum kejadian (ditembak mati), pada pukul 11 malam, lelaki itu telah melepaskan satu das tembakan terhadap sebuah kereta di kawasan Flat Paya Nahu, dipercayai berkaitan pengedaran dadah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Turut berada di tempat kejadian, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah.

Mior Farid Al Athrash memberitahu, polis merampas sepucuk pistol jenis Baretta, sejumlah wang tunai dan bungkusan kecil mengandungi dadah daripada lelaki berkenaan.

Katanya, siasatan turut mendapati kereta digunakan lelaki itu merupakan kenderaan curi milik seorang lelaki di Johor, tetapi telah ditukar nombor plat pendaftarannya.

Mior Farid Al Athrash berkata, pihaknya kini sedang mengesan dua orang rakan lelaki yang ditembak itu untuk membantu siasatan.

Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE