Kejadian pukul 6.20 petang itu mencemaskan ahli keluarga mangsa apabila lelaki berusia 35 tahun berkenaan turut mengacukan sebilah pisau ke leher kanak-kanak terbabit.

Mangsa walau bagaimanapun berjaya diselamatkan polis kira-kira pukul 11.45 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki itu dikatakan datang ke rumah tersebut untuk meminta wang tetapi abang iparnya enggan memenuhi permintaannya.

"Dia yang berang mengacukan pisau pada leher anak saudara perempuannya sebelum melarikannya ke dalam bilik air," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, polis yang mendapat maklumat berhubung kejadian terus ke lokasi dan memujuk lelaki itu untuk menyerah diri tetapi gagal.

"Polis kemudian terpaksa merempuh pintu bilik air untuk menyelamatkan mangsa apabila rundingan yang dilakukan tidak berhasil.

"Lelaki itu cuba melawan sehingga berlaku pergelutan, tetapi kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan," ujarnya.

Tambah beliau, mangsa yang didapati dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan pada leher dikejarkan ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.

"Lelaki itu ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaaan membunuh," katanya.- UTUSAN ONLINE