Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi, mangsa, Amran Ariffin, 53, yang merupakan seorang kontraktor meninggal dunia di tempat kejadian akibat ditetak oleh suspek berusia 24 tahun itu semasa mereka bertengkar.

Difahamkan, ibu tiri dan adik suspek yang berusia tujuh tahun berada di rumah semasa kejadian.

Suspek dikatakan turut menikam dirinya sebelum melarikan diri dan dia ditahan di rumah neneknya yang terletak 60 meter dari tempat kejadian kira-kira pukul 8 pagi sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk menerima rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Superintenden Azahar Muda berkata, suspek yang bekerja di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur dikatakan baru pulang ke kampung pagi semalam.

Menurutnya, suspek yang tinggal bersama neneknya telah pergi ke rumah mangsa pada sebelah petang untuk meminta wang dan dikatakan pada masa itu telah pun berlaku pertengkaran antara mereka.

“Selepas itu suspek dikatakan pergi ke sebuah kedai untuk membeli parang yang dipercayai mempunyai niat untuk menetak bapanya. Suspek berjumpa ayahnya sekali lagi pagi ini dan berlaku juga pertengkaran antara mereka berikutan mangsa dikatakan masih enggan memberikan wang diminta.

“Dipercayai suspek seorang penagih dadah tetapi akan disahkan apabila ujian saringan air kencing dijalankan nanti,” katanya.

Kata Azahar, suspek juga mengaku telah berhenti kerja di pasar raya berkenaan dan dia kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Katanya, mayat mangsa pula dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.